PENGALAMAN selama 10 tahun dalam membina model kit plastik Gundam atau singkatannya Gunpla, menjadikan Muhamed Sukry Sejli sebagai seorang yang kreatif dalam cara berfikir serta menyelesaikan masalah. Seperti kebanyakan model plastik yang lain, Gunpla datang dalam satu kotak yang mengandungi beberapa bingkai bahagian badan serta satu buku manual pemasangan. Playar pemotong khas untuk memotong model plastik dan pisau diperlukan untuk memotong serta mencantumkan bahagian-bahagian kecil menjadi satu robot dengan berpandukan manual yang diberikan.
“Memang tidak dinafikan bahawa pemasangan ini agak payah serta memakan masa namun setelah model siap dipasang, kita akan berasa sangat puas hati. “Berbanding model keluaran lama dengan model yang baharu, model kit Gunpla telah menunjukkan pelbagai peningkatan dari segi mutu, pemasangan yang singkat serta mudah dan kurangnya proses mengecat pada bahagian tertentu,” jelas Mumamed mengenai hobinya itu.
KOLEKSI: Model-model Gunpla yang dihasilkan oleh Muhamed. Menceritakan pengalamannya berjinak dalam hobi sedemikian, Muhamed berkata ia bermula sejak beliau di bangku sekolah dan hanya mampu membeli model Gundam yang berharga murah. “Disebabkan kekurangan wang serta informasi tentang penggunaan alatan tangan yang betul, saya memotong dan memasang Gunpla dengan hanya menggunakan gunting. “Lama-kelamaan, apabila sudah berkemampuan saya membeli alatan tangan khas untuk memasang Gunpla,” katanya sambil menambah beliau juga telah belajar asas-asas untuk mengecat Gunpla menggunakan cat semburan dalam tin. Selain itu, Muhamed berkata beliau juga mencuba membuat pengubahsuaian pada model Gunpla dari segi warna dan reka bentuk.
Tambahnya, baru-baru ini beliau telah membeli ‘airbrush’ untuk mengecat Gunpla kerana ia memberikan lebih pilihan untuk pewarnaan serta semburannya yang boleh diselaraskan, tidak seperti cat semburan dalam tin.
“Dengan menggabungkan pengetahuan saya dalam menggunakan komponen serta alatan elektrik dan elektronik, saya memasang lampu LED dan pernah meletakkan ‘webcam’ di dalam Gunpla,” katanya.
Mengenai penerimaan ibu bapa terhadap hobinya itu, Muhamed memberitahu pada awalnya mereka tidak menyukainya atas faktor bahawa pelajarannya dikhuatiri terjejas kerana terlalu asyik membina dan bermain dengan Gunpla.
“Namun, saya telah membuktikan kepada mereka bahawa hobi ini tidak menjejaskan akademik saya melalui prestasi cemerlang dalam kelas serta memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan sekolah,” katanya.
Pada setiap tahun akan diadakan kejuaraan tahunan Gunpla iaitu Gunpla Builders World Cup (GBWC) di Malaysia dan pemenang pertandingan ini akan menjadi wakil Malaysia untuk menyertai GBWC peringkat dunia.
Pada GBWC 2014 yang baharu sahaja berakhir di Jepun, wakil Malaysia telah dinobatkan sebagai johan peringkat dunia.
Selain itu, untuk yang berada di Sarawak, Sabah dan Brunei, penggemar Gunpla boleh menyertai satu pertandingan yang dinamakan Borneo Plamo Cup iaitu acara tahunan yang dianjurkan sejak 2013.
Akhir-akhir ini, minat golongan muda dan dewasa dalam hobi membina Gunpla di Kuching amnya semakin meningkat disebabkan ciri-ciri Gundam yang boleh ditonton di Internet, kewujudan kedai hobi yang menjual model Gunpla dan alatan tangan yang diperlukan dengan harga berpatutan serta tutorial pemasangan yang mudah diperoleh.
Di samping itu, dua ‘group Facebook’ telah ditubuhkan dengan tujuan menyatukan pemodel Gunpla dari seluruh Kuching dan Sarawak serta menjadi wadah untuk menyebarkan maklumat berkaitan hobi itu iaitu Kuching Gunpla Builders dan Sarawak Gunpla Meister.
Justeru, Muhamed berharap orang ramai tanpa mengira jantina dan usia agar menceburkan diri dalam bidang memasang Gunpla.
“Hobi ini tidak sepatutnya dilihat sebagai hobi kanak-kanak namun ia adalah satu hobi yang mengasah minda serta menjadikan kita sebagai seorang yang kreatif.
“Ini terbukti melalui kajian yang dijalankan oleh profesor Kikunori Shinohara bahawa memasang model kit merangsang fungsi otak, sama seperti permainan ‘puzzle’ dan ini memberi manfaat kepada semua peringkat umur,” katanya.
No comments:
Post a Comment